Puisi Dr Muhammad Uthman El-Muhammady


I
Alam bermula dengan titik cinta
Tuhan mencipta dari cinta
Rasul terutus dari cinta
Umat dilahirkan demi cinta
Agar alam tidak binasa

II
Pernciptaan bangsa dari cinta
Kelahiran bahasa dari cinta
Keperkasaan bangsa budaya kerana cinta
Dari cinta timbul saudara
Dari saudara timbul sekata

III
Cinta Tuhan kepada makhlukNya
Cinta Rasul kepada umatnya
Cinta penganjur kepada anak buahnya
Cinta murid kepada gurunya
Cinta bapa kepada anak isterinya

IV
Cinta umat kepada agamanya
Cinta rakyat kepada penganjurnya
Cinta bangsa kepada bangsanya
Cinta pejuang kepada perjuangannya
Penjamin kelestariannya

V
Cinta ‘Ala’uddin kepada rakyatnya
Cinta bendahara Tun Perak kepada rajanya
Cinta rakyat kepada pemimpinnya
Cinta makhdum kepada anak buahnya
Cinta Hang Tuah kepada rakyat dan rajanya

VI
Cinta suami kepada isterinya
Cinta bapa kepada keluarganya
Cinta seseorang kepada jirannya
Cinta rakyat kepada watannya
Penjamin kesejahteraan dan kemajuannya

VII
Cinta pekerja kepada tugasnya
Cinta penuntut kepada profesornya
Cinta pengembara kepada matlamatnya
Cinta sarjana kepada ilmunya
Cinta abid kepada ibadatnya

VIII
Cinta melahirkan perpaduan
Cinta melahirkan persaudaraan
Cinta melahirkan permaufakatan
Cinta melahirkan kebersamaan
Cinta dengan perpaduan melahirkan kesejahteraan

IX
Kejayaan Samudera Pasai melalui perpaduan
Kegemilangan Melaka melalui perpaduan
Kegemilangan Aceh melalui perpaduan
Kejayaan negara ini melalui perpaduan
Hancur perpaduan hancur perjuangan

X
Biduk lalu kiambang bertaut
Lupakan yang lalu hati bertaut
Hilangkan yang pilu serlahkan yang patut
Luka lama lupakan parut
Berkat usaha sama saling kita berpaut

XI
Adikara global baru mengabdikan
Ia berjaya bila perpaduan dimusnahkan
Bermaharajalela bila kerjasama dibiarkan
Penjajahan baru akan mengharubirukan
Pabila perpaduan bersama tidak digarapkan

XII
Akal berpandang jauh amat diperlukan
Bukan terpandang hanya yang segera ditujukan
Tapi menjangkau masa hadapan
Di mana bangsa di masa depan
Dalam global arus perlumbaan

XIII
Kita beradab ‘pabila berbeza pendapat
Hubungan kita sentiasa rapat
Kalau tidak yang diperjuang tiada dapat
Mati pejam mata tiada rapat
Hendak bertaubat tiada sempat

XIV
Mari kembali ke dasar perpaduan
Menumpukan ke matlamat tumpuan
Tempat akhir kesudahan pekerjaan
Demi kesejahteraan diri dan watan
Agama terjamin dengan kekuatan

XV
Tuhan, aku Lebai Jawi berdiri di sini
Memohon ampun kurnia Engkau Maha Pemberi
Bersama penganjur serta para sahabat kami
Memohon kurnia Engkau umpama laut ta’ bertepi
Apalah kiranya makbulkan permohonan kami

XVI
Wahai Tuhan, bangsa kami ini teras di sini
Kurniakanlah sekali lagi perpaduan kepada kami
Demi membina bangsa mendaulatkan agama kami
Pemberi tempat berpijak bagi hidup kami
Penjamin kesejahteraan sampai ke alam abadi



XVII
Tuhan, jayakanlah bagi kami perpaduan
Yang dengannya terjamin kesejahteraan
Yang kalau tidak kami menempah kehancuran
Yang daripadanya kami memohon perlindungan
Dari Engkau Tuhan yang Rahman

XVIII
Tuhan, izinkan kami membina di sini
Mendapat kekuatan iman dan takwa kami
Seperti yang Kau limpahkan atas mereka zaman dini
Kurniakan lagi kemampuan kami di sini
Membina seumpama Andalusia kami di sini


XIX
Tuhan cantumkan hati sekelian kami
Agar kami membina tamadun kami sendiri
Bebas terhormat seperti yang Engkau beri
Di waktu kegemilangan Kesultanan Melaka zaman bahari
Dalam suasana masakini di negeri ini

===
*Dideklamasikan di Anjung Rahmat
8 Mac 2004
Sempena Perhimpunan Agenda Melayu Kumpulan Prihatin

1 comment:

  1. ALLAH BERADA DI BUMI MENJELANG KIAMAT!!!

    Tenang-tenangkan diri...
    Sila layari http://manatuhanallah.wordpress.com
    Terima Kasih

    Krulayar

    ReplyDelete